Rabu, 21 Desember 2016

Keistiqamahan, Keteladanan dan Keluhuran Buya Hamka

Keistiqamahan, Keteladanan dan Keluhuran Buya Hamka

Baca Juga

Keistiqamahan, Keteladanan dan Keluhuran Buya Hamka
Keistiqamahan, Keteladanan dan Keluhuran Buya Hamka

Abdul Malik bin Abdul Karim Bin Amrullah, Amrullah anak kepada Saerah Binti Abdullah Arif Tuanku Pauh Pariaman, lahir pada 17 Februari 1908 bersamaan 14 Muharram 1326 Hijrah di Sungai Batang, pinggiran Danau Maninjau, Kabupaten Agam Sumatra Barat-Ranah Minangkabau. Dari pasangan Haji Abdul Karim Amrullah dan Siti Safiyah. Danau atau Tasik Maninjau dengan alam sekitarnya yang indah, cantik dan menakjubkan amat bertepatan sebagai kampung subur melahirkan orang-orang besar yang menentukan corak, dinamika dan bentuk sejarah Indonesia. Bahkan mantan presiden Sukarno menulis sebait pantun Jika adik memakan pinang, makanlah dengan sirih hijau, jika adik datang ke ranah Minang, jangan lupa singgah ke Maninjau Sebutlah nama-nama besar yang lahir disekitar danau ini Mr Asa at, Ketua Senat (Komite Nasional Indonesia Pusat-KNIP) yang pertama diawal Indonesia merdeka, pemangku presiden Indonesia, dikala presiden Sukarno tidak ada, Ahmad Rasyid Sutan Mansur (murabbi dan guru agung kepada banyak toko pergerakan Islam Indonesia, untuk satu tokoh ini akan disebut agak panjang dalam paper ini), Laksamana Laut M Nazir, pengasas tentera laut Indonesia, Prof Dr Bahder Djohan, mantan menteri pendidikan dan kebudayaan dan rektor universiti Indonesia-Jakarta Djamaluddin Datuk Singo Mangkuto, peguam hebat di zaman Sukarno/Suharto, Jusoef Syuib, KHM Isa Anshari, dua nama terakhir adalah penulis produktif buku Islam yang syumul dan Isa Anshari adalah singa podium pemidato handal, tokoh Masyumi yang sangat digeruni oleh Sukarno, juga kalangan nasionalis dan komunis. Bahkan Dr Mohammad Natsir, mantan perdana menteri dan ketua umum parti Islam Masyumi/pemimpin dunia Islam yang disegani, orangtua beliau juga berasal dari sini, walaupun beliau sendiri lahir di Alahan Panjang, Kabupaten Solok, Sumatra Barat.

Kampung Sungai Batang memang terkenal sebagai kampung orang cerdik pandai dan ahli berdebat, sebagaimana umumnya orang Minang yang kaya dengan petatah petitih. Abdul Malik yang kemudian kita kenal dengan nama populer Hamka, moyangnya adalah Tuanku Pauh Pariaman, ulama besar dan salah seorang panglima perang di waktu perang Padri (Kaum Putih) melawan penjajahan Belanda, diawal abad 18 yang dipimpin oleh Tuanku Imam Bonjol, Hamka sendiri adalah juga keturunan bangsawan Adat Minangkabau, yang lahir dari suku Tanjung pada usia yang masih belia, beliau diangkat sebagai penghulu warisan suku kaumnya dengan gelaran Datuk Indomo (di Minangkabau terkenal petatah kenek bagala, gadang banamo, kecil diberi nama, bila dewasa diberi gelar).Kegetiran dan kesusahan yang mewarnai hidupnya semenjak kecil, terutama setelah ayah-ibunya bercerai, ikut membentuk kekuatan pribadinya, sebagai tanda protes terhadap keadaan orangtuanya, si kecil Malik cenderung hidup agak liar.

Walau dalam usia 6 tahun dibawa ayahnya ke Padang Panjang, pada umur 7 tahun dimasukkan ke sekolah desa dan malam harinya mengaji Qur an dengan ayahnya, pada umur 8 tahun sahingga 15 tahun dia belajar agama di sekolah-sekolah Diniyah School dan Sumatra Thawalib di Padang Panjang dan Parabek, guru-gurunya adalah Syekh Ibrahim Musa Parabek, Engku Mudo Abdul Hamid dan Zainuddin Labay el Yunussiyah. Padang Panjang masa itu terkenal dengan ramainya pelajar menuntut  Ilmu Islam, dibawah pimpinan ayahnya Hamka. Sebagai tanda protes itu tadi umur 14 tahun Hamka mengembara ke Bengkulu seorang diri. Coba bayangkan negara masih dijajah zaman perang, kurangnya  kemudahan perhubungan, Hamka juga sudah merantau ke Jawa pada umur 16 tahun, belajar tentang Islam dan pergerakannya, bermula di Yogya Hamka kursus dengan HOS Tjokroaminoto,H Fakhruddin, RM Suryopranoto dan abang ipar-guru utamanya AR Sutan Mansur di Pekalongan.

Dengan dorongan kawan-kawannya, pada umur 19 tahun tanpa sepengetahuan ayahnya Hamka berangkat menunaikan ibadah haji melalui Medan, wang yang ada dipoket hanya cukup untuk teket kapal pulang dan pergi, dia akhirnya tinggal setahun dan bekerja di Mekkah. Setahun kemudian dia pulang, itupun setelah dijemput oleh adik ayahnya Haji Yusuf Amrullah di Medan Ayahnya sampai menitikkan air mata ketika tahu si Malik sudah jadi haji , padahal sang ayah pernah bertekad untuk menghantar anaknya ke Mekkah pada umur 10 tahun, namun tidak menjadi kerana hubungannya yang kurang mesra dengan ayahnya. Ingat akan tekad ayahnya itulah Hamka ke Tanah Suci disamping semangat dan kekuatan hatinya, yang membuat ayahnya terharu dan menitiskan air mata.

Ke-istiqomah-an

Melihat latar belakang salsilah dan keturunan keluarganya, Hamka memang lahir dari keturunan ulama dan orang besar, ayahnya Dr Syekh Abdul Karim Amrullah, salah seorang ulama pembaharu mujahid dan mujadid di zamannya, termasuk salah seorang ulama Minangkabau yang belajar di Mekkah, diantara gurunya di Mekkah adalah Syekh Ahmad Chatib al Minangkabauwy, imam besar Masjidil Haram yang juga berasal dari Ampek Angkek, Bukit Tinggi Sumatra Barat. Ayahnya yang mendapat gelar kehormatan Ustaziah Fakhiriah (Doktor Kehormat) dari Universiti Al Azhar, Mesir, sebagaimana anaknya dikemudian hari yang juga mendapat penghormatan yang sama, ayahnya yang lebih dikenal dengan Inyik Dr (Atuk Doktor) ini, adalah ulama yang luas ilmunya tegas dengan pendirian dan mempertahankan prinsip yang diyakininya.

Ini dapat dilihat bagaimana tegas dan kerasnya Inyik Dr, melawan kebijakan pemerintah Belanda, untuk mempersempit pengajaran dan pengertian agama Islam. Contohnya kebijakan Belanda dalam memperkenalkan Ordonasi Guru-guru Islam, pihak Belanda mahukan guru-guru Islam mengajarkan agama Islam, ikut keinginan dan sistim yang ditentukan oleh Belanda, ini dilawan habis-habisan oleh Inyik Dr, begitu juga sikapnya berhadapan dengan penjajahan Jepun, yang dengan kerasnya menunjukkan kekuasaannya di Indonesia, dengan berbagai provokasi dan propaganda, baik halus maupun kasar agar orang ruku menyembah menghala ke istana Kaisar Jepun di Tokyo, ada ulama-ulama yang lemah pendirian kerana takut akan ugutan, telah memutarbelitkan ayat-ayat Al Qur an atau Hadis-hadis Nabi untuk menghalalkan penyembahan berhala itu.

Adapula Ulama lain yang tidak mau memutar belitkan hukum Islam, tetapi kerana takut terbawa-bawa lalu menjauhkan diri dari segala hubungan dengan Jepun. Pada waktu itu tersebutllah dikalangan awam masa itu, Inyik Dr yang diundang hadir dalam beberapa pertemuan rasmi dengan Jepun, tidak mau ruku menyembah (Keirei) kepada istana Jepun. Jangankan rukuk sedangkan berdiri dari tempat duduknya saja diapun tak mau. Kala itulah Hamka bertanya kepada ayahnya, yang sehari-hari dipanggilannya Abuya. Tidakkah Abuya merasa takut akan disiksa atau dipotong leher oleh kempetai Jepun, Beliau menjawab Abuya bukanlah takut akan dipotong leher, tetapi Abuya takut akan pertanyaan sesudah leher dipotong (maksudnya akibat di akhirat nanti).

Sikap dan watak Inyik Dr inilah yang diwarisi oleh Hamka, makanya dalam kesempatan ini akan diketengahkan bagaimana keistiqamahan Hamka dalam menjalani kehidupannya; sebagai ulama, pendakwah, aktivis dan pemimpin gerakan Islam, sastrawan dan pujangga, penulis dan sebagainya. Keistiqamahan Hamka dapat dilihat dalam berbagai bidang;

A. Yakin Pembangunan Ummah Bermula Dengan Pendidikan dan Membangun Serta Mengimarahkan Masjid

Ini dapat ditunjukkan bagaimana dalam usia yang terlalu muda baru 21 tahun, Hamka ikut mendirikan Tabligh School kepunyaan Muhammadiyah di Padang Panjang, beliaulah menjadi Mudir pertama sekolah ini, yang kemudiannya berubah menjadi Kulliyatul Muballighin dan Kulliyatul Muballighat Muhammadiyah. Sekolah ini telah melahirkan banyak murid orang-orang kenamaan di Indonesia; pendakwah-pensyarah/ulama dan ustaz, hakim, dan sebagainya. Peranan Hamka kemudian terus berkembang dalam dunia pendidikan; menjadi pensyarah Universiti Muhammadiyah, Perguruan tinggi Agama Islam Negeri (PTAIN) kini berubah menjadi Institut Agama Islam Negeri (IAIN) dan kini berubah lagi menjadi Universiti Islam Negeri (UIN), beliau mengajar di IAIN dengan taraf sebagai pegawai tinggi Kementerian Agama Indonesia, juga mengajar di Universiti Islam Jakarta, Universiti Muslimin Makassar dan Universiti Islam Sumatra Utara (UISU) disamping tugas pokoknya sebagai penceramah menyampaikan kuliah agama Islam, hampir keseluruh Indonesia, bahkan juga sampai ke Malaysia, Singapura dan dijemput ke belahan dunia lainnya. Selain itu suara juga di dengar melalui radio  an ditayangkan dikaca TV.

Sudah pasti asas dan awal dari dakwah Islam itu, tapaknya adalah masjid. Maka pada awal tahun 1960-an Hamka bersama para sahabatnya, baik kalangan Muhammadiyah, Masyumi dan juga pegawai tinggi tentera yang ada spirit Islam bersepakat untuk mendirikan masjid di daerah elit Kebayoran Baru Jakarta Selatan, masjid ini kemudian diberi nama oleh Syaikhul Al Azhar Syekh Dr Mahmud Syaltut, tatkala berkunjung ke Jakarta, dengan memberi nama Masjid Al Azhar, bersempena nama Universiti Al Azhar di Kaherah, Mesir. Nama Al Azhar kemudian melekat kepada Tafsir yang penuh monomental yang ditulis dan diselesaikannya dalam penjara dan kemudian dalam rawatan di Hospital Persahabatan, Jakarta, tatkala beliau difitnah berkomplot untuk membunuh Presiden Sukarno dan Hamka dianggap berpihak ke Malaya, waktu konfrontasi dulu.

Masjid ini berkembang pesat dan maju dengan kepelbagaian aktibitinya; bukan hanya sekedar kegiatan shalat berjamaah, ceramah dan program qiyamullail, tetapi di masjid inilah termasuk bermulanya program remaja dan pemuda masjid, dengan nama awal Youth Islamic Study Club (YISC) yang memberikan berbagai aktiviti untuk remaja-pelajar sekolah dan belia/pemuda; kajian-diskusi buku, training nilai-nilai Islam dan dasar perjuangan, memberikan pengajaran tambahan bagi murid-pelajar sekolah menghadapi peperiksaan, dalam bidang-bidang mata pelajaran yang diperlukan, disamping kursus-training motivasi yang diperlukan oleh remaja-belia dan orang dewasa. Akhirnya akhir 70-an dan awal 80an-Persatuan Remaja dan Pemuda Masjid ini berkembang subur hamper keseluruh Indonesia, terutama di bandar-bandar dan kampus-kampus utama, inilah antara lain yang memunculkan jemaah tarbiyah, gerakan usrah dan halaqah.

Masjid Al Azhar dengan Yayasan Pendidikan Islam Al Azharnya, dimana Hamka menjadi pengerusi yayasan ini sampai ke akhir hayatnya, mempunyai institusi pendidikan mulai dari tadika sampai ke peringkat universiti dengan namanya juga Universiti Al Azhar Indonesia Jakarta, bahkan untuk sekolah menengahnya juga mempunyai banyak cawangan terutama disekitar kota Jakarta. Sekolah Menengahnya dikenal sebagai sekolah Islam elit dengan bayaran masuk dan iyurannya yang agak mahal, tetapi hasilnya dari segi syahsiah dan akademiknya, Alhamdulillah termasuk yang terbaik di Jakarta.

B. Berdakwah Melalui Jemaah

Sebagaimana kebanyakkan ulama dan aktivis Islam, dari dulu sampai zaman mutaakhir, dakwah Islamiyah untuk menegakkan Risalah Ilahi ini, sudah semestinya melalui gerakan atau jemaah, sebagaimana dalam Ushul Fiqh disebut Malayatimul Wajib Ila Bihi Fahuwa Wajib, di Indonesia dipanggil dengan Organisasi Massa (Ormas). Maka Hamka masuk kedalam pertubuhan Islam Muhammadiyah, mengikut jejak ayah dan abang iparnya AR Sutan Mansur. Pada umur 20 tahun Hamka sudah menjadi ketua lujnah perpustakaan dan tabligh Muhammadiyah Cawangan Padang Panjang, kemudian menjadi ketua cawangannya, setelah itu . 1942-1945 menjadi ketua majlis daerah Muhammadiyah Sumatra Timur di Medan, dan tahun 1946-1949 ketua pimpinan Muhammadiyah Sumatra Barat.

Dari tahun 1953 sampai 1971, dalam setiap muktamar Muhammadiyah namanya terus dicalonkan sebagai AJK Pimpinan Pusat Muhammadiyah, barulah pada muktamar tahun 1971 di Makassar, dengan alasan kemampuan dan kesihatan, Hamka hanya bersedia menjadi Penasihat Pimpinan Pusat Muhammadiyah sampai ke akhir hayatnya. Sebagai ulama dan pemikir Hamka, dianggap sebagai idiolog dan peletak dasar bagi gerakan Muhammadiyah, dan setiap tulisan atau bukunya selalu disebutkan pengaruh gerakan pembaharuan dan gerakan salaf, termasuk didalamnya Muhammadiyah yang diinspirasikan oleh pemikiran Syekh Muhammad Abdul Wahab, Syekh Muhammad Abduh dan Sayid Rasyid Ridha. Muhammadiyah kini mempunyai keahlian dan pengikut yang tidak berdaftar berjumlah 30 juta orang, dengan amal-amalnya berupa tadika sampai universiti berjumlah 15 ribu buah, belum lagi ratusan hospital, klinik dan rumah kebajikan, disamping memiliki masjid dan surau yang tersebar dari Sabang sampai ke Merauke.

C. Istiqamah Hanya dengan Parti Islam Masyumi

Parti Islam Masyumi, yang ditubuhkan berdasarkan keputusan Muktamar Umat Islam Indonesia, yang dihadiri oleh seluruh pimpinan dan wakil pertubuhan Islam dari seluruh Indonesia, Muktamar menetapkan berdirinya Majlis Syura pusat bagi umat Islam Indonesia, yang disebut Masyumi (Majlis Syura Muslimin Indonesia), Masyumi dianggap satu-satunya parti politik bagi umat Islam. Tujuan Masyumi adalah a.menegakkan kedaulatan Republik Indonesia dan agama Islam, b.Melaksanakan cita-cita Islam dalam urusan kenegaraan. Walaupun dasarnya baru dinyatakan pada tahun 1954 bahawa Masyumi adalah parti yang berdasarkan Islam, tujuannya juga diperjelas iaitu terlaksananya ajaran dan hukum Islam di dalam kehidupan orang-seorang, masyarakat dan Negara Republik Indonesi, menuju keredhaan Ilahi.

Apa yang menarik dari Parti Masyumi ini adalah tentang keahliannya, yang mempunyai dua kategori keahlian 1-Individu (perseorangan) 2-Ahli Pertubuhan atau Ahli Istimewa, Ahli individu adalah mereka yang tidak masuk dalam pertubuhan Islam kemudian menjadi ahli Masyumi, tetapi yang kedua sesiapa sahaja ahli pertubuhan Islam masa itu; Muhammadiyah, Nahdhatul Ulama (NU) Syarikat Islam (SI), Persatuan Islam, Persatuan Umat Islam, Al Washliyah, Al Ijtihadiah, Al Irsyad, Wanita Islam, Nahdhatul Watan di Lombok, Matlaul Anwar di Banten, dan organisasi pemuda, mahasiswa dan pelajar yang bernaung dibawah pertubuhan itu, atau yang berkecuali seperti Gerakan Pemuda Islam (GPI),Himpunan Mahasiswa Islam (HMI), Pelajar Islam Indonesia (PII), semua dikaitkan dengan Masyumi.

Kerana itulah secara otomatik sebagai ahli Muhammadiyah, Hamka juga adalah ahli Masyumi, walaupun pada masa yang sama Hamka juga adalah pegawai tinggi kerajaan, dan sebelum merdeka Hamka pernah masuk Parti Syarikat Islam, kerana pada masa itu tidak ada halangan bagi pegawai kerajaan untuk mendokong mana-mana parti yang diyakininya. Kinipun setelah reformasi sesiapa boleh menyokong parti apa sahaja, tetapi kalau mahu menjadi pimpinan atau ahli parlimen dan ADUN, harus cuti tanpa gaji, boleh aktiv semula setelah tidak aktif dalam parti politik. Hamka bukan sahaja tampil sebagai juru kempen dan penceramah utama parti Masyumi, tetapi pada pilihan raya umum Indonesia yang pertama tahun 1955, yang diadakan dimasa tokoh Masyumi yang masa itu berumur 38 tahun Mr Burhanuddin Harahap menjadi perdana menteri, ini dicatit oleh sejarah politik dunia, sebuah pilihan raya yang paling demokratik, telus, jujur dan rahsia, Hamka terpilih sebagai ahli parlimen (Dewan Rakyat) dan ahli konstituante (pembuat dasar negara), walaupun berasal dari Minangkabau-Sumatra Barat, namun Hamka dipilih mewakili daerah pemilihan Jawa Tengah. Pada masa yang sama waktu itu, gabenur Sumatra Tengah (sebelum berpisah menjadi Sumatra Barat, Riau dan Jambi) adalah Ruslan Muljohardjo, orang Jawa- tokoh Masyumi dari Muhammadiyah. Jadi sebagai parti Islam yang sangat terbuka untuk semua, soal kenegerian bagi orang Masyumi sudah tidak jadi masalah, bahkan seorang Kristian Drs JLW Rhemrev, bergabung kedalam Masyumi di Dewan Konstituante.

Hebatnya Masyumi masa tiga orang tokohnya menjadi pemerintah sebagai perdana menteri, bermula dengan Mohammad Natsir, kemudian Dr Sukiman Wirjosandjoyo dan terakhir Mr Burhanuddin Harahap, Masyumi telah berhasil menyatukan kembali Indonesia yang dipecahbelah oleh Belanda setelah merdeka tahun 1949, melalui Mosi Integralnya Mohammad Natsir di Parlimen, berhasil menyatukan kembali kedaulatan negara Indonesia, menstabilkan harga keperluan, tiada insflasi dan rasuah, keteladanan kehidupan yang sederhana. Walau sebelumnya beberapa ujian dihadapi Masyumi tahun 1947 Syarikat Islam keluar menjadi parti politik sendiri, begitu juga NU keluar tahun 1952, menjadi parti NU, persoalan hanya kerana jawatan 1 atau 2 kursi menteri, dikala itu Masyumi tidak mau berkompromi dengan Parti Nasional Indonesia (PNI) yang dikaitkan dengan Sukarno.

Salah satu kehebatan pemimpin dan tokoh Masyumi, ramai diantara mereka adalah pemikir dan penulis, mereka telah dilatih dizaman penjajah lagi, untuk berfikir kritis dan mampu menganalisa sesuatu persoalan dengan tajam, luas dan hujah yang meyakinkan, disamping kehebatan mereka membaca buku-buku hebat pada masa itu. Tidak hairanlah mereka begitu produktif dan kreatif melahirkan buku-buku Islam dalam pelbagai aspeknya, sebutlah nama-nama seperti H Zainal Abidin Ahmad, Prof Tengku Hasybie Ash Shidiqi, Prof Oesman Ralybi, KH Moenawar Chalil, Mohd Natsir disamping Hamka sendiri. Buku-buku yang diterbitkan berkaitan dengan politik, kenegaraan dan eknomi dalam Islam, Kelengkapan Tarikh Nabi Muhammad SAW, bahkan mereka sudah menulis dalam umur yang terlalu muda, Hamka sudah menulis pada umur 20 tahun, Natsir pada umur 27 tahun sudah menghasilkan buku besar Capita Selecta. Sayangnya tradisi berfikir dan menulis bagi kalangan pemimpin dan aktivis gerakan Islam tidak diteruskan sepenuhnya ke hari ini, adalah sedikit dari beberapa ulama dan tuan guru, yang sebetulnyaruang dan bidang penulisan tentang Islam dalam berbagai aspeknya yang syumul dan holistik itu, belum sepenuhnya di garap di rantau ini.

Meskipun parti Islam berpecah pada PRU 1955, namun Masyumi keluar sebagai pemenang bersama dengan PNI, hampir setiap negeri Masyumi menang kecuali daerah pemilihan Jawa Tengah,Jawa Timur, Kalimantan kecuali Kalimantan Selatan, Sulawesi kecuali Sulawesi Selatan, Masyumi menang besar di Aceh, Sumatra Utara, Sumatra Tengah, Sumatra Selatan, Jakarta dan Jawa Barat. Diparlimen dan konstituante, bila menyangkutperjuangan umat Islam dan menginginkan dasar Islam, Masyumi bersatudengan NU,SI dan juga Parti Islam Perti. Pada masa sidang-sidang parlemen dan konstituante inilah kehebatan tokoh-tokoh dan pemimpin Masyumi berhujah dikagumi oleh kawan dan lawan, apabila Hamka, Natsir berhujjah semuanya akan diam dan khusyuk mendengar, ibaratnya jarum jatuh akan kedengaran. Apabila kalangan Islam mahu menang, Sukarno dan tentera begitu khawatir, ditambah lagi Parti Komunis Indonesia (PKI) sudah terlalu rapat dengan Sukarno. Akhirnya parlimen dan konstituante dibubarkan, Hamka pada masa itu lebih berminat dengan Masyumi dan meletakkkan jawatan sebagai pegawai tinggi pemerintah, kerana diberi kata dua oleh Sukarno, Masyumi atau pegawai kerajaan.

Terjadinya konflik dan perang saudara antara pemerintahan daerah di Sumatra dan Sulawesi dengan pemerintahan Jakarta, ada beberapa individu tokoh Masyumi terlibat, walaupun secara rasminya Parti Masyumi masih mengusahakan dialog dan menempuh jalan damai, namun Sukarno yang sudah mulai melaksanakan Demokrasi Terpimpin yang ditentang oleh tokoh-tokoh Islam dan nasionalis demokrat, termasuk Hamka, Sukarno tetap menyebut Masyumi terlibat dengan pemberontakan PRRI. Makanya pada tahun 1960 Sukarno dengan kekuasaan diktatornya, memaksa supaya Masyumi dan juga Parti Sosialis Indonesia (PSI) pimpinan bekas perdana menteri Sutan Sjahrir mengharamkan parti-partinya masing-masing (bunuh diri secara paksa).Pada masa inilah kemudian ratusan tokoh Masyumi dan PSI ditahan dari tahun 1961-1966, Hamka sendiri ditahan dari tahun 1964-1966, padahal Hamka adalah ulama dan pujangga yang sangat dikagumi oleh Sukarno. Sebagai ulama yang berjiwa besar, dikala Sukarno meninggal tahun 1970, ramai ulama yang tidak mahu mengimamkan jenazahnya, Hamka tampil menjadi imam menshalatkan jenazahnya Sukarno.

Setelah Masyumi diharamkan, di zaman Order Baru ada usaha untuk menghidupkan kembali Masyumi, namun ditolak oleh Suharto dan ABRI. Akhirnya didirikanlah Parti Muslimin Indonesia (Parmusi), untukmenampung aspirasi politik bekas pendukung Masyumi, bagamanapun Parmusi juga dirosak oleh Suharto dan ABRI, apabila tokoh yang paling moderat dari Masyumi Mr Moehamad Roem, ditolak untuk menjadi ketua umum Masyumi, jadilah Parmusi yang sudah rusak itu, dipaksa bergabung menjadi satu dengan NU,SI dan Perti menjadi Parti Persatuan Pembangunan (PPP), parti rojak inipun kemudian tidak dibenarkan beradasar Islam. Hamka tidak lagi berminat dengan politik, meskipun namanya digunakan tanpa sepengetahuannya untuk jadi juru kempen Golkar, yang kemudian dibantah dengan tegas oleh Hamka.

Namun dalam menyelesaikan masalah-masalah politik tingkat tinggi yang menyangkut persoalan umat, sudah pasti Hamka akan turun tangan dan diminta pandangannya oleh pemerintah, termasuklah soal Undang-Undang Perkahwinan yang menghebohkan, soal masuknya Kebatinan dalam dasar pembangunan negara, dan yang terakhir fitnah terhadap umat Islam, dengan tuduhan melakukan keganasan; seperti Teror Warman, gerakan Komando Jihad dan sebagainya, Hamka berperanan besar menyelesaikan masalah itu dengan bijaksana, adakalanya Hamka perlu menemui presiden Suharto, atau bertemu panglima ABRI dan menteri-menteri yang berkenaan. Sensitiviti dan keprihatinan Hamka, terhadap nasib umat Islam diseluruh dunia, juga sangat jelas, adakalanya dinyatakan melalui tulisan dalam majalahnya Panji Masyarakat, melalui kolom Dari Hati ke Hati, melalui majalah yang diasaskannya majalah Islam Panji Masyarakat dan diungkap melalui ceramah dan khutbah Jumatnya, juga melalui kedudukannya sebagai ketua MUI.

D. Tegas Mempertahankan Aqidah dan Menolak Pemurtadan

Sikap Hamka yang paling jelas adalah, apabila beliau meletakkan jawatan sebagai pengerusi (ketua umum) Majlis Ulama Indonesia (MUI) pada tahun 1981, jawatan yang disandangnya untuk penggal kedua dari 26 Juli 1975, itulah pertaruhan Hamka, demi fatwa yang beredar pada 7 Maret 1981 yang menegaskan Natal Bersama Haram hukumnya, Fatwa yang ditandatangani Hamka yang disiarkan kepada media dan aktivis Muslim, Kementerian Agama bagai dilanda gempa, menteri agama masa itu Left Jeneral (B) Alamsjah Ratuperwiranegara , dengan cepat meminta agar fatwa itu segera ditarik balik dan dimansuhkan, atau menteri agama akan mundur. Tetapi Hamka memilih mundur, dari pada menjilat ludah sendiri, Hamka rela mundur kerana nasihatnya sudah tidak dipedulikan pemerintah. Hamka meletak jawatan ribuan ucapan selamat dan tahniah diterimanya, padahal apabila dilantik menjadi ketua umum MUI Pusat 1975 tidak adapun orang yang mengucapkan selamat.

Fatwa itu bagaikan nada sumbang di tengah orkestra kejayaan Order Baru yang masa itu dimainkan presiden Suharto, bersama CSIS, Mafia Barkeley, Golkar, ABRI serta kalangan birokrat, yang sangat member angin kepada Kristianisasi dan Jawanisasi. Natal bersama dengan alasan menciptakan keharmonian antara umat beragama, padahal mengikut Islam bukan begitu caranya. Terlihat beliau tidak takut terhadap penguasa yang zalim, dia hanya takut kepada Allah sahaja, dalam berjuang Hamka sanggup menanggung resiko, yang akan diterimanya, bahkan Hamka pun istiqamah mengatakan haram terhadap pembangunan kota Jakarta yang dibiayai oleh wang hasil judi, saat itu Jakarta dipimpin oleh Left Jeneral Marin (B) Ali Sadikin, termasuklah kemudian membantah pandangan Ali Sadikin agar mayat-mayat di Jakarta dibakar sahaja, kerana kota semakin sempit dengan berkurangnya tanah perkuburan, Hamka dengan lantang mengatakan Islam tidak membenarkan cara itu, akhirnya Ali Sadikin mengalah. Berkat ketabahan dan kesabaran Hamka dan sahabatnya Mohd Natsir mendakwahi Ali Sadikin, melalui surat, mengirimkan hadiah Qur an dan buku-buku Islam sepuluh tahun kemudian, Ali Sadikin sadar dengan kesalahannya dan ingin bertaubat, mau pergi haji ke Mekkah bersama Hamka dan M Natsir.

Sebetulnya sikap Hamka ini bukanlah baru, dan ini hanya meneruskan pandangan ulama silam yang bersandarkan Al Qur an dan Sunnah, serta ijmak dan qiyas, pandangan ulama muktabar berkaitan dengan soal Natal ini. Hamka jelas menolak perlunya diadakan Natal dan Hari Raya Bersama, Hamka menyebut tradisi Hari Raya bersama bukan menyuburkan kerukunan antau tolak angsur penganut satu agama dengan agama lain, tetapi akan menyuburkan kemunafikan. Disinilah jelas sikap Hamka, begitu juga dalam soal penyebaran Kristian dan ajaran Jawa Kuno, Hamka jelas tidak setuju biarlah orang sudah beragama, jangan lagi diganggu aqidahnya, orang-orang Islam yang dipanggil abangan sebaiknya diajak kembali kepada Islam yang asal, tidak perlulah ajaran kebatinan yang karut marut itu dihidup suburkan.Bagi Hamka pembangunan moden, bukanlah pembaratan dan bukan pula Kristianisasi.

Begitu pula sikapnya dengan ajaran sesat lain seperti Ahmadiyah, Hamka dengan jelas menulis Ahmadiyah adalah agama bukan aliran. Sebagai agama Hamka melihat Ahmadiyah memiliki aqidah dan syari at yang berbeda dengan Islam. Aqidah Ahmadiyah berinti kepada keyakinan akan kenabian Mirza Ghulam Ahmad. Sedangkan syari atnya bertumpu kepada upaya mengekalkan kolonialisme Inggeris di India dengan menghapuskan ajaran Jihad. Pada masa Hamka hidup, jaringan Islam Liberal belum begitu nampak, kecuali fikiran-fikiran aneh yang dilontarkan oleh Dr Nurcholis Majid. Seandainya Hamka masih dan berhadapan dengan seolah-olah hebatnya Islam liberal ini, sudah pasti akan dilawan dengan hujah yang jitu dari Hamka.

Sebagai Ayah dan Akhlak Kemanusiaannya

Ayah di sini bukan dimaksud, hanya ayah untuk anak-anaknya, namun ayah bagi orang banyak. Untuk anak-anaknya sendiri Hamka jelas memberikan perhatian yang besar, soal pendidikan dan kehidupan mereka. Anak sulung Hamka, Zaki Malik yang dinilai agak lain dari pada adik-adiknya, hanya sekedar menjual buku-buku di tangga masjid Al Azhar, namun dia ada kelebihan pandai menulis khat Arab dengan indah dan cantik. Makanya satu kali Hamka pernah bertanya kepada Zaki, mahukah Zaki masuk surga bersama Abuya dengan membuat pahala, kata Zaki mahu, kalau begitu tolonglah tuliskan khat yang bagus untuk Tafsir Al Azhar ternyata Zaki berhasil melakukannya dengan sangat baik, begitulah cara Hamka dengan anaknya.

Juga dengan orang lain, beragam orang datang dengan berbagai persoalannya, bertemu Hamka, mengadu masaalah, ada yang datang sekedar berkeluh kesah, meminta nasihat dan tazkirah masalah rumah tangga dan kehidupan, bahkan meminta wang kerana kesulitan ekonomi, semuanya diterima Hamka dengan ikhlas dan lapang dada, mereka yang datang dianggap sebagai anak, bahkan ada persoalan yang terlalu rumit yang diadukan, tidak jarang orang yang mengadu itu tinggal di rumah Hamka, sampai persoalannya selesai, bahkan orang-orang bukan Islam pun terutama dari keturunan Cina, ramai yang berjumpa Hamka sekedar minta nasihat dan pandangan, dan tidak jarang pula yang memeluk Islam, dan kelebihan Hamka selalu merasa dekat dengan semua orang, tidak jarang orang yang dekat dengannya apalagi yang muallaf dijadikan anak angkat, diantaranya Yusuf Hamka. Ini sudah dilakukan Hamka dari muda lagi salah seorang sahabatnya dari muda adalah Haji Abdul Karim Oei Chong Hien, yang kemudian juga menjadi aktivis Muhammadiyah dan Masyumi sama dengan Hamka.

Apa yang menarik dari apa yang keluar dari ucapannya, setiap Hamka ditanya atau menjawab persoalan orang banyak adalah, ucapan dan jawaban yang diberikan disampaikan dengan bahasanya nan indah, bijaksana dan memberikan ketenangan bagi yang mendengar, salah seorang gadis Muslim bertanya Buya bolehkah saya tidak menutup aurat, kerana saya merasa tiada masalah dengan pakaian ini Hamka menjawab, tiada salahnya ananda berpakaian seperti itu, kerana ananda yakin dengan cara itu, tetapi alangkah indahnya ananda menutup aurat kerana itu adalah kehendak Allah Swt, (kerana menutup aurat wajib hukumnya dalam Islam) begitulah cara Hamka. Dengan itu jelas sikap Hamka dalam menunjukkan keagungan ajaran Islam, ajaran Islam membolehkan bergaul dengan semua orang Islam dan bukan Islam, tetapi harus jelas batas dan hadnya, pada masa yang sama kita memperlihatkan keteladanan dan akhlak yang agung, bahwa Islam itu rahmat (nikmat, penyelamat, khabar gembira dan dirasakan keindahannya) oleh semua orang, apapun perjuangan kita adalah untuk semua, namun orbitnya adalah Islam, kerana nilai Islam itu adalah seluruh alam semesta, dunia dan akhirat, sesuai dengan skrip dan senario yang selari dengan nurani dan fitrah manusia yang sudah ditentukan oleh pencipta alam Allah Swt.

Selalu kita mendengar peribahasa Kerana Pulut Santan Binasa, Kerana Mulut Badan Sengsara namun untuk Hamka pribahasa ini kita rubah Pulut Sri Muka Luarnya Berwarna Merah, Tapai Ubi Murah, Ada di Pasar Merata Negara, Dari Mulut Hamka Keluar Mutiara Hikmah, Ramai Hati Gelisah, Bertukar Bahagia.

Begitu pula dalam soal kebudayaan, yang bagi Hamka pengaruh kebudayaan asing, jauh lebih berbahaya dibanding persoalan lain. Makanya dalam penulisannya buku-bukunya Hamka begitu jelas akan mengandungi nilai-nilai dakwah dan ruh Islam, dalam menjalankan tugasnya sebagai budayawan dan pujangga ini, sudah pasti fitnah dan tribulasi akan menimpa dan terjadi. Begitulah apabila komunis begitu berkuasa di Indonesia, dengan organisasinya Lembaga Kebudayaan Rakyat (Lekra) mempromosikan kebudayaan rakyat yang pro kepada atheisme, salah seorang tokohnya adalah Pramoedya Ananta Toer, yang menuduh Hamka dengan karyanya Tenggelamnya Kapal Van der Wijk sebagai plagiat, padahal masa itu Hamka adalah juga ahli Lembaga Kebudayaan Nasional. Namun kemudian Hamka dengan sabar dan tidak pernah dendam, apabila anak Pram; Astuti dan calon suaminya yang akan masuk Islam, ingin belajar Islam dari Hamka.

Hamka menerima mereka dengan begitu mesra, sebagaimana juga terhadap tamu yang lain, sambil bertanyakan khabar tentang ayahnya Pram, Hamka kemudian mengajarkan mereka dasar-dasar Islam, kemudian menitipkan salam untuk Pram, Astuti akhirnya menangis , ia tidak menyangka menerima pelayanan yang begitu hebat dari Hamka, seorang tua yang pernah dicaci maki oleh ayahnya. Bahkan anaknya Rusydi mengingatkan lupakah ayah siapa Pramoedya itu? Tidak, betapapun dia mencaci kita, kita tak berhak menghukumnya. Allah lah yang Maha Adil dan diapun telah menjalankan hukuman dari penguasa negara ini. Dan bagi Hamka tulisan Pram tidak perlu dilarang, tulisan mesti dilawan dengan tulisan. Dan orangpun bertanya kepada Pram kenapa anaknya dihantar belajar agama Islam dengan Hamka, Pram menjawab, Hamka adalah orangnya yang alim dalam soal tauhid dan ilmu Islam yang lain.

Sebagaimana pengakuan anaknya Rusydi, mengibaratkan ayahnya Buya Hamka tak ubahnya seperti dokter perubatan di klinik di mana pasien selalu datang beratur, figur ulama yang kini sudah jarang ada ditengah umat, sebagai ulama Hamka benar-benar rapat dengan grassroot, berakar kebawah, bersedia hidup dengan suka dukanya rakyat, dan menjadi tokoh rujukan untuk bertanya-menjawab pelbagai persoalan umat. dan rakyat banyak Terakhir bagaimana kebijakan Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Kabinet Suharto (1978-1983), melarang cuti sekolah di bulan Ramadhan, dengan alasan bulan puasa adalah bulan untuk melatih anak-murid dan pelajar berfikir, disamping beribadah khusus. Padahal sebelumnya sudah menjadi tradisi di Indonesia, selama bulan Ramadhan sekolah rendah dan menengah dicutikan, bagi membolehkan anak-anak; murid dan pelajar memperkemas puasanya, disamping banyak masa untuk bertadarus dan mengikuti tamrin-training menghayati nilai-nilai dan prinsip dakwah, dasar-dasar Islam dan perjuangan menjalakan dakwah dan harakah.

Dalam hal ini bagi Hamka, tradisi ini sudah disepakati bersama sejak begitu lama, jadi tidak boleh seenaknya dirubah oleh menteri. Hamka berjumpa menteri itu, namun Hamka dan rombongannya dari MUI bagaikan dihina dan diperleceh oleh menteri, akhirnya sudah jelas kerana menyangkut maruah, harga diri dan martabat umat kemarahan Hamka kepada menteri ini dinyatakan dalam khutbah Jum’at dan melalui tulisannya di Panji Masyarakat. Memang Hamka dan juga sahabatnya Mohd. Natsir, pihak pemerintah Indonesia terutama pihak istana Presiden masih belum berminat memberikan gelaran Pahlawan Nasional, dan juga nama-nama jalan, padahal terlalu ramai nama tokoh entah siapa dan kurang dikenali diberikan bintang dan dijadikan nama-nama jalan, Hamka tentu tidak mengharapkan itu kerana beliau adalah pahlawan dunia dan akhirat, bahkan bagi dunia Melayu-rantau Islam Asia Tenggara, bahkan juga dunia Islam, Hamka bukan hanya sekedar pahlawan, tetapi lebih dari sebagai guru-tokoh-pemimpin-sejarawan-pujangga-mufasir/ulama-pendakwah-filosof besar dunia, yang sangat patut warisan ilmu-pemikiran dan jejak langkahnya yang indah, perlu diwarisi-diteladani dan diteruskan oleh generasi kini dan masa akan datang, dan sudah pasti nama besar ini akan selalu diingat dan harum semerbak sepanjang sejarah.

Sumber : https://insaninspirasi.wordpress.com/2011/02/05/keistiqamahan-keteladanan-dan-keluhuran-buya-hamka/#more-100

Related Posts

Keistiqamahan, Keteladanan dan Keluhuran Buya Hamka
4/ 5
Oleh